Kategori | : | Perbezaan |
Ketika berada di sekolah, apabila cikgu dan ustaz menceritakan bahawa peri pentingnya menjadi seseorang yang memiliki ilmu atau kepakaran yang tertentu, maka aku hanya membuat endah tak endah saja terhadap kata-kata tersebut. Kini apabila sudah usia mula meningkat dan melihat sendiri betapa bergunanya sesuatu ilmu itu, maka barulah sedar bahawa pentingnya memiliki ilmu, lebih-lebih lagi sekiranya memiki kepakaran yang amat mendalam dalam sesuatu ilmu. Ilmu menguasai sesuatu bahasa asing sebagai contoh, amat penting sekiranya dapat dikuasainya. Amat senang untuk mendapatkan sesuatu pekerjaan dan mencari rezeki sekiranya menguasai sesuau bahasa asing. Sekiranya menguasai dua, tiga, empat dan lebih banyak, maka itu adalah kelebihan yang amat bernilai. Dengan senang sahaja kita mampu berbicara dan berurusan dengan pelbagai bahasa. Apabila kita telah menguasai sesuatu bahasa dengan baik, maka kita sebenarnya telah memasuki satu pintu gerbang yang mana di dalamnya mempunyai amat banyak ilmu tersembunyi di dalamnya. Ini kerana sesuatu bangsa memiliki pelbagai rahsia yang tersendiri. rahsia tersebut tidak akan dapat dicapai tanpa memasuki ke dalam kelompok tersebut. Cara yang paling senang untuk menggabungkan diri, bergaul dan mengetahui ilmu dan rahsia bangsa tersebut adalah dengan mengetahui bahasa yang digunakan oleh bangsa itu. Semakin dalam mengetahui bahasa itu, maka semakin banyak ilmu bangsa itu akan didapati. Bahasa berkait rapat dengan budaya, adat resam dan agama sesuatu bangsa. Terdapat banyak perkataan dalam sesuatu bangsa hanya sesuai untuk bangsa itu sahaja. Jika ingin menterjemahkannya ke dalam bahasa lain, maka akan terasa janggal dan tidak sesuai. Terdapat juga sesetengah perkataan yang mempunyai nilai kesopanan dan hormat apabila digunakan, yang mana sukar untuk dijelaskan maknanya kepada bahasa lain.Inilah salah satu rahsia dan keistimewaan sesuatu bahasa yang tidak akan diperolehi oleh sesiapapun melainkan bagi orang yang menguasai bahasa itu sendiri. Jika kita membaca buku 'hikayat Abdullah', beliau amat menekankan tentang penguasaan banyak bahasa. Beliau tidak jemu-jemu belajar bahasa asing walau pun ketika itu ramai orang yang menganggap bahawa mempelajari bahasa sesuatu segsa yang tidak beragama Islam adalah sesuatu yang tidak wajar. Beliau mengatakan bahawa beliau sudah biasa dengan hinaan, ejekan dan cacian bahawa belajar bahasa Inggeris seolah-olah menjual agama dan mendekati agama Kristian. Beliau tidak mengendahkan kata-kata tersebut dan terus belajar bahas Inggeris sampai pandai. Beliau juga belajar bahasa lain seperti bahasa Arab, Hindustan, Tamil dan Cina. Penguasaannya yang amat banyak dalam berbahasa itu membolehkannya mempelajari banyak ilmu dan sahabat dari pelbagai bangsa. Tercatat juga dalam buku itu bahawa amat ramai golongan elit Inggeris datang ke Melaka dan Singapura dan datang berjumpa dengan Abdullah untuk meminta mengajar bahasa Melayu. Golongan elit Inggeris mengetahui dengan menguasai bahasa Melayu yang merupakan bahasa di tanah Melayu akan memudahkan lagi perencanaan mereka di sini. Mereka tanpa segan silu dan berusaha gigih mempelajari dan mengkaji kitab-kitab jawi yang menggunakan bahasa Melayu kuno untuk mengetahui rahsia bangsa Melayu. Ketika kita membicarakan Munsyi Abdullah dan tulisan-tulisannya, sebaiknya kita mengambil beberapa perkara yang elok. Memang tidak dinafikan bahawa banyak juga tulisannya yang seolah-olah menghina dan mengutuk perilaku keadaan orang Melayu di zamannya ketika itu. Apatah lagi Munsyi Abdullah dalam dalam beberapa ketika bekerja sebagai jurutulis dan tenaga pengajar kepada orang Inggeris. Orang Inggeris merupakan majikannya. Akan tetapi tulisannya yang amat mendorong dan memberikan galakan supaya tidak jemu menuntut ilmu harus diberi perhatian. | ||
Lampiran | : | Tiada rekod |
"Sesungguhnya orang yang berakal itu menyembunyikan rahsianya, dan orang yang jahil membuka keaibannya" |
Tarikh terakhir kemaskini: 18-09-2013