|
Ah | Is | Se | Ra | Kh | Ju | Sa | | | | | | 1 | 2 | 3 | 4 | 5 | 6 | 7 | 8 | 9 | 10 | 11 | 12 | 13 | 14 | 15 | 16 | 17 | 18 | 19 | 20 | 21 | 22 | | 24 | 25 | 26 | 27 | 28 | 29 | 30 | | | | | | | |
Tiada Aktiviti Direkodkan |
LAMAN UTAMA >
Umum
KENYATAAN AKHBAR - MAIDAM MENGANJUR KURSUS KHAS SKIM AL ANSAR - SYARAT MASUK KE AL AZHAR
Kategori | : | Umum |
| | KENYATAAN AKHBAR
MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT MELAYU TERENGGANU
SYARAT BARU KEMASUKAN KE UNIVERSITI AL AZHAR –
MAIDAM MENGANJUR KURSUS KHAS SKIM AL ANSAR
*****************************************************************
Merujuk kenyataan Menteri Pengajian Tinggi dalam akhbar 3 April 2011 yang memaklumkan Universiti Al Azhar, Mesir mengenakan ujian Bahasa Arab untuk penuntut Malaysia, sebenarnya telahpun dilakukan oleh pihak universiti berkenaan dalam kemasukan tahun 2010.
2. Dalam peperiksaan sesi kemasukan tahun lepas seramai 657 orang pelajar Malaysia yang menduduki peperiksaan dan Imtihan Qabul (ujian kemasukan) hanya 307 orang yang lulus (47%). Sedangkan pelajar berkenaan telah menyiapkan diri untuk memasuki pengajian ijazah tahun pertama setibanya di Mesir dalam pengajian Islam. Kegagalan ini menyebabkan mereka tertangguh untuk memula pengajian di Kampus Al Azhar walaupun persiapan sewaktu meninggalkan Malaysia adalah untuk menjejak kaki di tahun pertama Ijazah. Akibat kegagalan ini mereka terpaksa mempelajari Bahasa Arab di Maahad atau Kelas Khas Universiti.
3. Keadaan sama berlaku ke atas pelajar-pelajar Terengganu terutama yang memohon sendiri kemasukan secara persendirian tanpa ditapis rapi. Mereka tertangguh memasuki kursus Ijazah kerana gagal dalam Imtihan Qabul dan sekarang mengikuti kursus Bahasa Arab untuk membolehkan mereka mengambil peperiksaan semula.
4. Dalam keadaan begini, MAIDAM tidak boleh membayar Dermasiswa penuh iaitu RM5,000.00 setahun tetapi layak dipertimbang sebagai penerima bantuan am iaitu RM1,000.00 hingga RM2,000.00 sahaja. Tanggungan pembiayaan berbaki perlu ditanggung oleh ibu bapa pelajar. Oleh itu pelajar dinasihatkan tidak mengambil risiko untuk berangkat ke Mesir jika tidak mempunyai kekuatan Bahasa Arab atau kelayakan sewajarnya. Kekurangan keupayaan ini juga menyebabkan ramai pelajar tidak mampu menyudah pengajian dalam tempoh 4 tahun. Ada antara mereka masih memohon bantuan MAIDAM setelah berada di Mesir selama 12 tahun.
5. Menyedari halangan ini akan bertambah sulit jika tidak dikawal lebih awal, MAIDAM telahpun meluluskan program khas SKIM AL ANSAR yang akan menyedia kursus Bahasa Arab dan penyesuaian diri dengan kerjasama UNISZA untuk 100 orang pelajar terpilih. Pelajar dipilih dari keputusan peperiksaan SPM lalu yang memperolehi sekurang-kurangnya 5A dan mesti A dalam Bahasa Arab. Jumlah kos terlibat RM500,000.00. Pelajar yang layak telahpun dipilih oleh pihak sekolah dan ditapis semula oleh panel pemilih MAIDAM.
6. Keistimewaan pelajar terpilih di bawah skim ini ialah mereka layak menerima bantuan Dermasiswa selama tempoh pengajian dengan sekali memohon di awal pengajian berbanding amalan biasa yang memerlukan mereka memohon setiap tahun setelah dibukti pencapaian tahun sebelumnya. Permohonan kemasukan ke universiti, termasuk penyiapan dokumen, Kursus Biro Tatanegara dan penghantaran pelajar diurus oleh MAIDAM.
7. Tindakan MAIDAM menganjurkan kursus khas ini dijangka dapat memperbaiki Bahasa Arab dan berjaya lulus dalam peperiksaan kemasukan di universiti berkaitan. Mereka juga akan didedahkan dengan adat resam kehidupan di lokasi pengajian termasuk adat, tingkah laku orang-orang Arab yang mungkin tidak sesuai diikuti. Penekanan juga diberi untuk penumpuan belajar dan mematuhi arahan pegawai atau Kerajaan dari semasa ke semasa.
Ketua Pegawai Eksekutif
Majlis Agama Islam dan Adat Melayu
Terengganu
13 April 2011
|
Lampiran | : | Tiada rekod |
"Sesungguhnya orang yang berakal itu menyembunyikan rahsianya, dan orang yang jahil membuka keaibannya"
|