Kategori | : | Sukan |
12 mac 2011 Pelumba sensasi negara, Anuar Manan akhirnya menunjukkan taring sebenarnya . Hujan lebat yang membayangi perlumbaan peringkat keempat Kejohanan Lumba Basikal Jelajah Malaysia (JM) 2011 semalam telah memberi kelebihan buat Anuar apabila pelumba pasukan Terengganu Pro Asia (TSG) itu berjaya mengungguli saingan dari Kuala Rompin ke Pekan. Pada saingan sejauh 89.6 kilometer itu, Anuar bukan saja muncul juara peringkat keempat, malah anak kelahiran Kuala Ibai, Terengganu ini berjaya menyarung Jersi Kuning selaku pendahulu keseluruhan daripada tangan rakan sepasukan, Mohd. Hariff Salleh. “Saya pada mulanya tidak memburu Jersi Kuning ini, sebaliknya strategi awal ialah untuk memastikan Hariff menang pada perlumbaan peringkat keempat ini supaya dapat mengekalkan jersi ini,” kata Anuar yang mencatat masa satu jam 52 minit 24 saat semalam. “Tetapi ketika menuju ke garisan penamat, saya lihat Hariff terperangkap di celah pelumba lain, jadi saya pun mengambil peluang untuk memotong mereka di bahagian lain. “Cuaca hujan sepanjang perlumbaan ini juga memberi kelebihan kepada saya dan Hariff, malah bantuan daripada pelumba Malaysia yang lain seperti pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan beberapa pasukan lagi memudahkan lagi tugas kami,” jelasnya lagi yang turut memenangi Jersi Biru untuk pelumba terbaik Asia serta Jersi Putih untuk pelumba terbaik Malaysia. Sementara itu, Hariff yang terlepas gelaran pendahulu dan dua jersi lain (Biru dan Putih), masih lagi mengekalkan Jersi Hijau selaku Raja Pecut dalam empat saingan JM2011. “Saya tidak kecewa kerana terlepas Jersi Kuning ini kepada Anuar, kerana bagi saya Anuar selaku pelumba senior memang berhak memenanginya kali ini,” kata Hariff yang mengumpul 66 mata. “Strategi awal memang saya sepatutnya memecut ke garisan penamat untuk memenangi perlumbaan ini tetapi saya tersepit di celah-celah pelumba pasukan Iran dan Polygon (Sweetnice). “Apa pun saya tetap gembira kerana dapat mengekalkan Jersi Hijau ini, lebih mudah tugas saya untuk menumpukan perhatian kepada satu-dua jersi saja berbanding empat jersi. Bagi saya juga, kemenangan berpasukan lebih utama daripada kejayaan individu,” ujarnya lagi. Pada saingan semalam yang tidak menampilkan laluan berbukit, Anuar berjaya memenangi zon pecutan 1 (Nenasi) dan zon pecutan 2 (Air Tawar) manakala Hariff pula yang menamatkan perlumbaan di tempat keempat, berjaya menduduki tempat kedua pada zon pecutan 2. Gelaran Raja Bukit pula masih dipegang oleh pelumba pasukan Aisan Racing dari Jepun, Kenichi Suzuki dengan 8 mata. Saingan kelima JM2011 hari ini akan bermula dari Pekan ke Bentong dengan jarak terpanjang iaitu 221.2km melibatkan dua zon pecutan iaitu di Petronas Gambang (Zon 1) dan Pejabat Daerah dan Tanah Maran (Zon 2) manakala satu pendakian iaitu di Maran. sumber kosmo 12 mac 2011 | ||
Lampiran | : | Papar Fail Lampiran(PDF) |
"Sesungguhnya orang yang berakal itu menyembunyikan rahsianya, dan orang yang jahil membuka keaibannya" |
Tarikh terakhir kemaskini: 18-09-2013