Kategori | : | Sukan |
25.1.2011 - JAGUH pecut negara, Anuar Manan kembali mempamerkan kayuhan bertenaga, sekali gus menaiki podium pada peringkat kedua Kejohanan Lumba Basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2011 semalam. Meskipun sekadar menduduki tempat ketiga pada perlumbaan sejauh 145.4 kilometer dari Kangar ke Butterworth itu, Anuar yang juga Raja Pecut 2010 masih boleh berbangga kerana berjaya menyarung Jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia. Pelumba pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) itu mencatat masa 3 jam 26 minit 26 saat untuk menamatkan perlumbaan di tempat ketiga di belakang pendahulu keseluruhan dan pemenang Jersi Kuning, Andrea Guardini dari Farnese Vini-Neri Sottoli (FAR). Manakala pelumba Rusia, Boris Shpilevsky dari pasukan Tabriz Petrochemical Team (TCT) di tempat ketiga dengan catatan masa yang sama. Setakat ini, Anuar menduduki tempat kedua dalam kedudukan individu keseluruhan (Jersi Kuning) di belakang Guardini manakala dalam perebutan Jersi Biru, dia mengumpul 31 mata, dua mata juga di belakang pelumba Itali itu. Bagi Anuar, 24, kejayaan merampas Jersi Putih daripada Park Sung-baek dianggap sebagai satu bonus selepas pelumba sensasi pasukan kebangsaan Korea Selatan itu terbabit dalam kemalangan kira-kira satu kilometer menuju ke garisan penamat. "Sasaran awal saya adalah untuk meraih Jersi Biru (Raja Pecut) tetapi dengan kejayaan menyarung Jersi Putih ini sudah boleh dikira baik kerana ia bukan sasaran sebenar saya. "Saya gembira kerana sekurang-kurangnya saya dapat menyarung satu jersi selepas saya gagal melakukannya pada perlumbaan peringkat pertama di Langkawi semalam (kelmarin)," kata Anuar pada sidang media semalam. Mengulas saingan semalam, Anuar berkata, dia bernasib baik kerana tidak terlibat dengan beberapa insiden kemalangan yang berlaku khususnya pada penghujung perlumbaan. "Hari ini (semalam) banyak kemalangan, jadi saya agak sedikit takut. Situasi itu menyebabkan saya kehilangan banyak tenaga kerana perlumbaan tidak begitu lancar. "Namun, saya bersyukur kerana tidak berdepan dengan sebarang masalah walaupun saya hampir terlibat dengan kemalangan," katanya. Anuar menambah, dia tetap berpuas hati kerana masih mampu menamatkan perlumbaan semalam di tempat ketiga biarpun pada suatu ketika, pelumba kelahiran Kuala Ibai, Terengganu ini berpeluang muncul juara. "Kira-kira dua kilometer terakhir, saya cuba untuk berada dalam kelompok hadapan tetapi saya hilang tenaga ketika menuju ke garisan penamat sehingga gagal memintas pelumba yang berada di depan saya. "Ketika itu, saya terpaksa berusaha sendiri kerana tidak ada bantuan daripada rakan-rakan sepasukan yang lain. Saya tersangkut dengan pelumba-pelumba lawan dan hanya mampu menamatkan perlumbaan di tempat ketiga. "Apa pun, saya tetap gembira dan bersyukur menduduki tempat ketiga. Saya akan cuba lagi untuk memperbaiki prestasi saya pada perlumbaan seterusnya," jelas Anuar. Hari ini akan berlangsung perlumbaan peringkat ketiga sejauh 144.9 kilometer dari Taiping ke Sitiawan, Perak melibatkan tiga zon pecutan dan satu zon bukit. KOSMO 25.1.2011 | ||
Lampiran | : | Papar Fail Lampiran(PDF) |
"Sesungguhnya orang yang berakal itu menyembunyikan rahsianya, dan orang yang jahil membuka keaibannya" |
Tarikh terakhir kemaskini: 18-09-2013