LAMAN UTAMA >
Sejarah Tercipta di YPKT
KANAK-KANAK TERENGGANU MAMPU HAFAZ MUQADDAM
Kategori | : | Sejarah Tercipta di YPKT |
Pencapaian kanak-kanak Terengganu dalam bidang akademik semakin mengagumkan sehingga ada segelintir daripada mereka yang berumur tiga hingga empat tahun mampu menghafaz 23 surah lazim dalam Muqaddam. Ini dapat dibuktikan melalui program hafazan Muqaddam yang dikelolakan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) di Taska Hadhari seluruh negeri ini. Menteri Besar, Dato’ Seri Idris Jusoh berkata, untuk melahirkan insan Quranik, seseorang individu itu perlu dididik daripada sewal usia malah sebaik-baiknya dalam kandungan lagi. “Melihat prestasi kanak-kanak semakin mengagumkan, Kerajaan Negeri turut bersetuju mewujudkan program untuk ibu bapa bertujuan memudahkan mereka mendidik anak masing-masing terutama yang masih dalam kandungan secara bersistematik, “ katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sijil Hafazan Muqaddam di Taska Hadhari Batu Burok, Kuala Terengganu, hari ini (13 Januari). Seramai 218 kanak-kanak Taska Hadhari dari 41 Taska Hadhari di seluruh negeri ini menerima sijil hafazan Muqaddam masing-masing. Sementara itu, Dato’ Seri Idris mengumumkan bahawa bermula tahun ini, sebanyak 52 Taska Hadhari lagi akan dibuka dengan setiap Dewan Undangan Negeri (Dun) mempunyai sekurang-kurangnya dua taska. Katanya, Kerajaan Negeri terpaksa berbuat demikian kerana taska yang sedia ada tidak mencukupi berbanding permintaan ibu bapa yang semakin meningkat. “Di setiap taska itu nanti bukan sahaja dilengkapi peralatan pembelajaran moden malah tenaga pengajar turut dilatih mengikut bidang masing-masing. “Kaedah itu memudahkan mereka mendidik dengan cara yang betul dan bukan lagi hanya mengasuh dan mengajar mengenal abjad ABC seperti sebelum ini,” katanya. Menurutnya, dengan adanya Taska Hadhari, ia mampu berperanan sebagai penyumbang ke arah penjanaan modal insan bermentaliti kelas pertama seperti mana yang diharapkan Kerajaan Negeri. “Tenaga pengajar adalah contoh dan ikutan kepada anak-anak serta individu kedua terpenting selepas ibu bapa dalam memainkan peranan membentuk keperibadian, sahsiah dan minda kanak-kanak. “Oleh itu, Kerajaan Negeri sarankan kepada pendidik dan ibu bapa supaya lebih kerap berinteraksi serta bersama-sama menyertai pelbagai aktiviti bertujuan membantu proses peningkatan pembelajaran anak masing-masing ketika berada di taska,” katanya. Unit Komunikasi Negeri | ||
Lampiran | : |
Tiada rekod
"Sesungguhnya orang yang berakal itu menyembunyikan rahsianya, dan orang yang jahil membuka keaibannya" |
©SUKTRA Terengganu 2011- Hakcipta Terpelihara
Tarikh terakhir kemaskini: 18-09-2013
Terma Penggunaan | Polisi Privasi | Notis Perundangan | Maklumbalas | Peta LamanTarikh terakhir kemaskini: 18-09-2013