| | KUALA LUMPUR 8 Nov. — Sebanyak 61 pusat pemindahan mangsa banjir di Terengganu telah ditutup sepenuhnya pada pukul 12 tengah hari tadi, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, hari ini.
Shahrizat dalam satu kenyataan di sini berkata, 966 keluarga mangsa banjir di negeri itu telah pulang ke rumah masing-masing.
Bagi negeri Perlis pula katanya, tiga pusat pemindahan ditutup semalam melibatkan 81 keluarga yang juga pulang ke rumah masing-masing manakala hanya satu pusat pemindahan masih beroperasi di Dewan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) membabitkan 39 mangsa dari tujuh keluarga.
Sementara itu, pusat pemindahan mangsa banjir yang masih beroperasi adalah di Kelantan dan Kedah masing-masing terdapat 25 dan 20 pusat membabitkan 695 dan 346 keluarga.
Shahrizat berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sentiasa bersedia memastikan semua keperluan asas mangsa banjir seperti makanan, pakaian, kit peralatan kebersihan diri dan khidmat kaunseling adalah mencukupi.
"Di setiap pusat pemindahan, JKM akan membuat pendaftaran mangsa banjir dan bersama-sama dengan sukarelawan menyediakan makanan, menjaga kebersihan dan mengatur aktiviti bersesuaian umpamanya untuk kanak-kanak dan golongan wanita,” katanya.
Sumber daripada Utusan Malaysia, 8 November 2009 :
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1108&pub=utusan_malaysia&sec=Terkini&pg=bt_33.htm&arc=hive |