| | HULU TERENGGANU - Seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun sempat menghidangkan makanan tengah hari buat neneknya sebelum dia mati lemas di Sungai Kampung Getang di sini kelmarin.
Tuan Jebah Mamat, 72, berkata, cucunya, Tuan Nor Farah Amira Tuan Harun datang ke rumahnya pada waktu tengah hari kelmarin dan terus menghidangkan makanan yang sudah dimasak untuk dimakan bersama.
"Farah kerap datang ke rumah saya yang terletak tidak jauh dari rumahnya tetapi selalunya saya yang hidangkan makanan sebelum kami sama-sama makan," ceritanya ketika ditemui di rumah mangsa di Kampung Getang, Telemong dekat sini semalam.
Namun, kata warga emas itu lagi, dia tidak sangka pula hidangan tengah hari yang dilakukan oleh cucunya adalah yang terakhir sebelum cucunya itu ditemui mati lemas di sungai yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah mangsa.
Kakak mangsa, Tuan Nor Sofia Farina, 12, berkata, sebelum kejadian pada pukul 3 petang kelmarin, dia keluar menaiki basikal ke sungai itu bersama Farah dan tiga orang sepupunya.
"Kami kemudian berjalan di tebing sungai untuk pergi ke kawasan timbunan kayu di sungai tersebut.
"Semasa berjalan di tebing sungai itu, Farah terjatuh dan terus dihanyut arus deras," katanya.
Cerita Sofia, dia terjun ke dalam sungai itu untuk menyelamatkan adiknya dan sempat menarik rambutnya.
Sumber daripada KOSMO!, 8 November 2009 :
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=1109&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm |