Kategori | : | Sukan |
Mohd. Adiq Hussainie Othman meneruskan rentak cemerlang apabila menghadiahkan pingat pertama buat kem lelaki junior Malaysia selepas meraih perak dalam acara lepas beramai-ramai lelaki junior sejauh 127 kilometer di Kem Melati, SAMARINDA, Kalimantan. Selepas bergelar pemenang pingat gangsa pada Kejohanan Remaja Dunia di Moscow minggu lalu, pelumba kelahiran Terengganu itu meneruskan kayuhan mantap sekali pun dibayangi kilauan emas yang diraih pelumba Kazakhstan, Armen Kamsy- hev yang merakam masa 3 jam 23 minit 13 saat dengan purata kelajuan 37.497 kilometer (km) sejam. Mohd. Adiq keciciran 1 minit 36s di belakang Kamsyhev manakala pelumba Jepun, Kyosuke Kasahara pula berjaya menangkis asakan pelumba lain untuk merangkul pingat gangsa. Apa pun, Kamsyhev jelas mengambil percaturan paling berisiko selepas melakukan pecahan di kawasan puncak bukit terakhir tatkala perlumbaan berbaki 15km dan henjutannya itu gagal disaingi oleh Mohd. Adiq sehingga ke garisan penamat. Pelumba Kazakshtan berkenaan melengkapkan dominasi mereka dalam acara lepas beramai-ramai lelaki senior dan junior. Jelas sekali reputasi Mohd. Adiq selaku pemenang pingat gangsa pada Kejohanan Remaja Dunia di Moscow minggu lalu menyebabkan ramai pesaing dari Kazakhstan, Uzbekistan, Jepun, Korea Sela- tan dan China mengambil keputusan untuk tidak membenarkan pelumba berusia 19 tahun kelahiran Terengganu itu melakukan pecahan. Seorang lagi pelumba Malaysia, Mohd. Khairul Aziz Abdullah mencuri tumpuan awal apabila memimpin perlumbaan selama dua pusingan sebelum mengalami kekejangan otot tetapi tugas selaku pendahulu acara kemudian diserahkan kepada seorang lagi tonggak negara, Nur Amirul Fakhruddin Marzuki. Bagaimanapun, Mohd. Adiq pantas mengekori Kamsyhev yang lincah meloloskan diri dan serentak dengan itu tempo perlumbaan dikunci tiga lagi pelumba Kazakhstan dan Malaysia. "Saya kecewa kerana gagal meraih pingat emas. Ini tahun terakhir saya berlumba dalam kategori junior. Tahun depan saya akan masuk kategori senior. Saya jangka boleh kejar tetapi pelumba Kazakhstan itu ternyata lebih kuat. "Saya terpaksa menyimpan sedikit tenaga kerana selepas ini menyertai acara point race (perlumbaan mata). Apa pun, saya tetap akan mencuba untuk membawa sekurang-kurangnya satu pingat emas selepas ini," katanya. KOSMO 19 OGOS 2009 | ||
Lampiran | : |
"Sesungguhnya orang yang berakal itu menyembunyikan rahsianya, dan orang yang jahil membuka keaibannya" |
Tarikh terakhir kemaskini: 18-09-2013