| | Kerajaan negeri yakin atlet yang bakal bertanding di Sukan Malaysia (SUKMA) 2010, di Melaka nanti mampu mengharumkan nama Terengganu buat kali kedua dengan meraih kedudukan tempat pertama dengan sasaran 60 pingat emas.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Dato’ Abdul Rahin, yakin atlet Terengganu mampu melakukan yang terbaik kerana mereka mendapat latihan secukupnya daripada jurulatih berpengalaman serta menggunakan peralatan terkini .
Katanya, pada SUKMA 2010 yang akan berlangsung di Melaka, kerajaan negeri mensasarkan 60 pingat emas dengan beberapa acara penting, termasuk bola sepak, lumba basikal, akuatik, pencak silat, olahraga dan karate.
“Walaupun angka itu tidak melebihi daripada jumlah pingat emas yang diraih negeri ini pada SUKMA XII lalu iaitu 61 pingat, pihaknya yakin Terengganu tetap unggul dan berjaya menduduki tempat pertama.
“Sasaran itu dirasakan memadai berikutan pelbagai acara terpaksa dikurangkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) iaitu 32 kepada 25 acara,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Peralatan SUKMA XII kepada Majlis Sukan Negeri (MSN), di Kompleks Sukan Negeri (KSN), Gong Badak, Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat SUKMA, Haji Arpin Draman, Pengarah MSN Encik Rosdi Awang dan beberapa pegawai kanan kerajaan.
Peralatan SUKMA XII yang membabitkan kos RM6.47 juta itu diserahkan kepada MSN untuk melatih sebaik mungkin atlet yang bakal bertanding di SUKMA 2010, di Melaka nanti.
Selain itu, kerajaan negeri turut menyampaikan imbuhan RM115,000 kepada 96 Pegawai Teknikal Utama yang terlibat dalam SUKMA XII lalu. Imbuhan itu diagihkan bagi menghargai jasa pegawai itu yang mengharumkan nama Terengganu.
Dato’ Rahin berkata, kerajaan negeri menyokong keputusan KBS yang mengurangkan tujuh acara penting yang bakal dipertandingkan dalam SUKMA 2010 nanti.
“Tindakan itu dilihat positif kerana ia mampu memperkemaskan dan mengurangkan kos untuk sukan itu,” katanya.
Sementara itu, Dato’ Rahin turut menyatakan persetujuan kerajaan negeri menganjurkan pelbagai jenis sukan di waktu malam bertujuan menghidupkan suasana KSN selain mengurangkan gejala sosial di kalangan remaja.
“Sukan itu akan dianjurkan pada setiap bulan dengan melibatkan 12 acara termasuk olahraga, bola jaring, boling, badminton, futsal dan sepak takraw,” katanya.
Bermula April nanti, kerajaan negeri akan membuka klinik boling bagi memantapkan kebolehan peminat sukan itu yang masih dianggap baru di negeri ini. Ratu boling negara, Shalin Zulkifli akan diamanahkan untuk tujuan itu.
IHSAN
UNIT KOMUNIKASI NEG TRG |