Kategori | : | Keratan Akhbar |
Saya baru terima pesanan mesej ringkas (SMS) yang mengandungi doa agar umat Islam dipelihara Allah dari penindasan dan penganiayaan sepertimana yang berlaku ke atas saudara-saudara kita di Palestin, Iraq dan Afghanistan. SMS itu juga meminta saya sebarkan doa tersebut kepada 5 orang yang lain. Intipati doa tersebut telah menarik perhatian saya kerana kebelakangan ini memang banyak peristiwa penindasan dan seumpamanya yang telah berlaku ke atas umat Islam. Misalnya, beberapa bulan yang lalu kita melihat bagaimana Sheikh Ahmed Yassin, pemimpin Pertubuhan Hammas, dibunuh dengan kejam oleh rejim Israel. Tidak lama kemudian Abdel-Aziz al-Rantissi, seorang lagi pemimpin Hammas dibunuh dalam satu serangan roket tentera Israel. Kita melihat bagaimana rakyat Iraq dihina, didera dan diaibkan oleh askar askar penceroboh Amerika dan Britain. Kita juga menyaksikan kematian rakyat Islam Thai yang terkorban dalam satu pertembungan berdarah dengan pihak berkuasa negara tersebut. Peristiwa-peristiwa ini telah menghantui fikiran saya. Dapatkah umat Islam mengatasi masalah-masalah yang sedang mereka hadapi kini? Di samping di anggap sebagai satu kaum yang militan, umat Islam juga merupakan satu kelompok bangsa yang lemah, miskin dan kurang berilmu. Samada hal-hal ini hanya persepsi mainan media Barat ataupun ianya satu hakikat sebenar bukanlah persoalan. Yang penting perkara ini wujud dan kita bertanggungjawab untuk mengubahnya mengikut kemampuan kita masing-masing. Gambaran negatif yang wujud terhadap umat Islam juga memberi kesan ke atas persepsi dunia terhadap agama Islam sendiri. Ianya sama sekali bercanggah dengan ajaran agama kita yang mengatakan bahawa Islam itu hebat dan tidak ada yang lebih hebat darinya. Nampaknya Islam yang dikhutbahkan selama ini tidak dapat menyelesaikan masalah. Walaupun Allah lebih suka mukmin yang gagah, tapi kita membiarkan diri kita lemah. Walaupun junjungan kita mengatakan bahawa tangan di atas lebih baik dari tangan di bawah, kita lebih suka meminta dan menjadi masyarakat yang sukakan subsidi. Saya masih ingat akan resolusi dari Persidangan KALIF dan hasil rumusan Kongres Ekonomi Bumiputera ke - 4 iaitu umat Islam perlu mewujudkan satu pandangan hidup (worldview/ weltenschaung) atau 'tasawwur' Islam yang sebenar di kalangan masyarakat Islam. Pandangan ini membuka dimensi Islam kepada satu ajaran yang bukan hanya dilihat dari aspek perundangan dan politik semata-mata tetapi juga dari aspek kesarjanaan, senibina, kebudayaan, akal budi, kesenian, ekonomi dan perdagangan, kewangan dan perbankan, pelancongan dan perindustrian, pertanian dan pembangunan lestari, malah bahasa dan kesusasteraan. Agama Islam bukan hanya bersifat menghukum, bersifat ritual mahupun retorika melalui ceramah yang berapi-api. Islam bukan hanya untuk dikhutbahkan, malah sudah tiba masanya Islam dipraktikkan. Satu cerita lagi mengatakan pada satu masa dahulu, satu rombangan dari Kelantan ada belayar sampai di Kuala Sungai Taring Anu(Kuala Terengganu). Sesampainya mereka di waktu petang, hari pun sangat redup dan gelap serta hujan renyai-renyai. Kebetulan di waktu itu ada cahaya terang di awan-awan langit dipanggil orang "Ular Mayang" orang Kelantan kata "Pelangi". Ini bermakna kita mahu melihat bagaimana Islam diterjemahkan dalam konteks pembangunan manusia pada hari ini yang mana kemajuan peradaban hidup manusia sudah menjadi semakin kompleks berbanding dahulu. Banyak perkara-perkara baru dalam masyarakat yang memerlukan tindakan secara yang teratur, berkesan dan berhemah. Misalnya isu instrumen kewangan Islam, isu penglibatan umat Islam sebagai pemimpin dalam bidang ICT, isu tadbirurus korporat yang cekap dan telus,isu perdagangan serantau (regionalism), isu keanggotaan baru Kesatuan Eropah dengan 25 negara dan kesannya terhadap umat Islam, dan sebagainya. Jelas, Agama Islam bukan lagi untuk dibicara atau dikhutbah semata-mata tetapi untuk dipraktikkan sesuai dengan tarafnya sebagai agama yang sejagat. Sebab itulah muncul satu pandangan yang menggunakan pendekatan yang dipanggil ISLAM HADHARI, dengan menonjolkan sifat-sifat Islam yang moden, progresif, dinamik dan bertamadun. Islam Hadhari ialah satu pendekatan pembangunan yang menyeluruh (a holistic development approach). Islam Hadhari bukanlah satu ajaran baru, ianya adalah ajaran Islam yang sebenar yang berpaksikan Al Qur'an dan Hadith Nabi SAW. Hal ini bukan satu perkara yang baru kerana Agama Islam adalah satu agama yang syumul; agama yang sesuai sepanjang zaman dan agama yang merentasi sempadan tempat dan waktu. Malah penggunaan istilah 'Hadhari' telahpun digunakan oleh ilmuwan Islam sejak dari dahulu lagi seperti Ibnu Khaldun dalam kitab agungnya 'Al Muqaddimah' dan pemikir Algeria iaitu Malik Bennabi yang cenderong menggunakan istilah 'hadhara' yang dianggap hampir kepada maksud keseimbangan kemajuan antara aspek material dengan akhlak dan spiritual. Keagungan tamadun Islam Andalus (Sepanyol) yang wujud selama 800 tahun sering dijadikan contoh penterjemahan konsep Islam Hadhari dan bagaimana Agama Islam yang syumul itu telah membawa rahmat ke sekelian alam. Saya telah mengklasifikasikan Prinsip Asas Islam Hadhari kepada 8 iaitu: Prinsip 1. Syumul dan Seimbang (Ummatan Wasata) Prinsip 2. Cemerlang (Khayra Ummah) Prinsip 3. Global (Ummatan Wahidah) Prinsip 4. Ilmu (Iqra) Prinsip 5. Kompetitif, Inovatif dan Kreatif Prinsip 6. Mesra (SLM) Prinsip 7. Moden dan Kontemporari Prinsip 8. Akhlak Prinsip 1. Syumul dan Seimbang (Ummatan Wasata) ... Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil/Umat yang seimbang (Ummatan Wasata)..." (Surah Al Baqarah, ayat 143) Amat jelas kepada kita bahawa Islam itu lengkap dan seimbang; keseimbangan di antara dunia dan akhirat, keseimbangan di antara ibadat khusus dan kemajuan negara. Ini digambarkan melalui doa kita setiap hari: "Ya Allah, berikanlah kepada kami kebaikan (hasanah) di dunia dan kebaikan (hasanah) di Akhirat". Begitu juga seruan azan "Marilah Sembahyang" dan "Marilah Menuju Kejayaan", juga jelas menjurus kepada keseimbangan dengan seruan supaya ditunaikan sembahyang yang dengannya akan menghasilkan kejayaan (al falah). Banyak lagi contoh keseimbangan seperti keseimbangan diri, dalam keluarga, masyarakat dan alam sekitar, keseimbangan di antara sains dan kesenian, dan sebagainya. Prinsip 2. Cemerlang (Khayra Ummah) "Kamu adalah umat yang terbaik (khayra ummah) yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah." (Surah Ali 'Imran, 110) Junjungan kita Muhammad SAW juga pernah bersabda bahawa Allah suka kepada hambaNya, yang apabila membuat sesuatu kerja, hambaNya itu melaksanakannya dengan penuh cemerlang. Dalam pengurusan korporat pula, kecemerlangan (excellence) dalam bentuk kualiti perkhidmatan dan barangan, bermakna kelangsungan hidup. Kecemerlangan dalam Islam terserlah terutamanya semasa zaman-zaman pemerintahan di Andalus dan Baghdad. Kecemerlangan Islam Andalus merintis kepada kewujudan 'renaissance' di benua Eropah. Sarjana-sarjana Islam diiktiraf dan dicontohi sehingga kini. Prinsip 3. Global (Ummatan Wahidah) Konsep ummah dalam Islam tidak pernah dihuraikan mengikut definisi perkauman. Perkembangan Islam yang hebat semasa zaman jahiliah adalah kerana Islam tidak pernah melihat perbezaan mengikut warna kulit dan kaum. Ini juga merupakan di antara sebab utama Islam di sambut baik di benua Afrika dan Eropah. Sebab inilah juga mengapa Islam berkembang ke India dan seterusnya ke negara China. Konsep global ini juga dinyatakan dalam Al Qur'an sepertimana maksud Surah Al Hujraat, ayat 13; "Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal"kenalan (dan beramah-mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia- mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya)" Prinsip 4. Ilmu (Iqra) Dalam keghairahan kita untuk menjayakan agenda masyarakat bermaklumat, kita lupa bahawa Islamlah yang mempelopori gesaan menuntut ilmu kerana ayat pertama yang diturunkan adalah satu arahan supaya kita membaca (Iqra'). Belajar juga adalah satu proses sepanjang hayat (life long learning) yang bermula dari ayunan buai sehingga ke liang lahad (minal mahdi ilal lahd). Islam Hadhari sukar untuk dicapai sekiranya kedai-kedai buku hanya menjual buku teks sekolah dan perpustakaan menjadi tempat pengunjung lepak. Prinsip 5. Kompetitif, Inovatif dan Kreatif Dalam peperangan di zaman Rasullullah, umat Islam mengunakan kuda dan panah. Umat Islam juga diseru supaya belajar berenang. Di zaman ini senjata peperangan yang canggih seperti jet pejuang dan peluru berpandu tidak dikuasai oleh orang Islam. Tetapi oleh kerana perang zaman ini ialah perang ekonomi maka senjata yang paling berkesan adalah senjata ekonomi. Negara yang dominan adalah negara yang kaya dan rakyatnya berilmu. Negara Jepun menjadi kuasa dunia yang digeruni kerana rakyatnya berilmu dan ekonominya kuat. Tetapi malangnya, umat Islam dalam bidang ekonomi pun mereka lemah. Prinsip 6. Mesra (SLM) Saya selalu terfikir, kenapa umat Islam perlu bersengketa, bermasam muka, tuduh-menuduh, kafir-mengkafir dan mencaci maki sesama sendiri sedangkan Islam mengajar umatnya supaya berbaik-baik, hatta kepada non-Muslim sekalipun. Islam menganjurkan supaya kita berkenal-kenal (taaruf), berkasih sayang, saling memaafkan, sehingga senyum itupun dianggap sedekah dan boleh dapat pahala! Di samping itu, Al Qur'an menjadi petunjuk kepada kita apabila permulaannya dibaca dengan sifat Allah ar Rahmaan dan ar-Rahim iaitu Yang Maha Pengasih dan Yang Maha Penyayang. Prinsip 7. Moden dan Kontemporari Semasa kegemilangan Islam, yang moden dan kontemporari adalah Islam. Andalus semasa itu adalah yang paling moden dan yang paling canggih sehingga menjadi ikutan dan contoh kepada seluruh benua Eropah. Prinsip ini digambarkan melalui keagungan tamadun Islam Andalus beserta tokoh tokoh ilmuwan dan cendekiawan seperti Al Khawarizmi, ahli matematik yang ulung; Ibnu Sasawayh, doktor pakar diet; Al Farghani, ahli astronomi; Tsabit bin Qurrah, ahli geometri; Ar Razi, doktor penemu penyakit cacar dan darah tinggi; Az Zahrawi, ahli bedah; al Khazin, ahli matematik; Ibnu Haytham, ahli fizik; al Biruni, tokoh astronomi; Ibnu Sina, doktor; dan ramai lagi. Saya selalu mengimpikan kelahiran seorang Muslim dari Malaysia (mungkin dari Terengganu) memenangi Hadiah Nobel Laureate. Semoga ianya menjadi kenyataan. Apa yang moden pada ketika itu mungkin tidak lagi moden dan kontemporari di zaman ini. Contoh yang paling mudah ialah penggunaan kapalterbang; dulu kapalterbang tidak wujud seperti sekarang. Malah kapalterbang penumpang yang terbesar di dunia kini iaitu Airbus 380, boleh membawa 550 penumpang sekaligus. Bayangkan seramai ini umat Islam yang terbang ke Mekah untuk mengerjakan haji bagi satu penerbangan. Justeru, umat Islam tidak boleh ketinggalan dalam aspek teknologi pengangkutan seperti membuat kapalterbang, kereta atau keretapi laju. Prinsip 8. Akhlak "Sebaik-baik manusia di antara kamu ialah orang yang akhlaknya baik." (Hadis Riwayat Bukhari) Sebagai contoh, akhlak seorang peniaga. Islam sememangnya menggalakkan perniagaan. Walau bagaimanapun, yang lebih diutamakan bukanlah soal mendapat untung dari perniagaan tersebut tetapi cara kita berniaga mestilah berasaskan akhlak yang betul. Apabila caranya berakhlak, maka sumber pendapatan tersebut menjadi halal untuk diberi makan kepada anak dan isteri. Itu yang lebih utama. Islam Hadhari dihubungkan dengan agama; dengan aqidah dan akhlak. Tanpa agama, kemajuan dan pembangunan tidak bermatlamat. 8 prinsip di atas perlu diterapkan supaya ianya menjadi nilai-nilai yang diamalkan dalam kehidupan kita sebagai seorang Muslim. (Mei 2004) | ||
Lampiran | : | Tiada rekod |
"Sesungguhnya orang yang berakal itu menyembunyikan rahsianya, dan orang yang jahil membuka keaibannya" |
Tarikh terakhir kemaskini: 18-09-2013