Kategori | : | Keratan Akhbar |
KUALA TERENGGANU 5 April – Lepasan siswazah di negeri ini berpeluang untuk menjadi usahawan taman asuhan kanak-kanak (Taska) menerusi Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) yang menyediakan peruntukan sebanyak RM2 juta untuk mereka memulakan perniagaan itu. Pengarah YPKT, Mohd. Shafaruddin Mustaffa berkata, usaha itu dilaksanakan melalui Program Taska Puteri yang bertujuan bagi menangani masalah pengangguran di kalangan siswazah di negeri ini. Katanya, bagi setiap siswazah yang berjaya, mereka akan diberikan modal RM30,000 bagi membolehkan mereka menjadi pengusaha taska yang dimaksudkan melalui bimbingan yang diberikan yayasan tersebut. ‘‘Mereka dikehendaki mengenal pasti lokasi untuk membuka taska tetapi tumpuan kami mestilah di kawasan bandar kerana kami mahu taska tersebut lebih berkonsepkan komersial. “Siswazah yang terpilih juga akan dikehendaki menjalani kursus pengembangan awal kanak-kanak selama 21 hari di YPKT bagi memboleh mereka diberikan pendedahan dalam bidang berkaitan,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini. Mohd. Shafaruddin berkata, pihaknya menjangka akan dapat mewujudkan sebanyak 60 taska sedemikian di seluruh Terengganu pada tahun ini, yang dijangka dapat menyediakan lebih 300 peluang pekerjaan kepada siswazah menganggur di negeri ini. Katanya, taska tersebut akan menempatkan kanak-kanak berusia di bawah empat tahun, sebagai pelengkap kepada taska YPKT sedia ada. Menurutnya, program ini berkonsepkan pinjaman mudah iaitu peserta mungkin hanya perlu membayar balik separuh sahaja berdasarkan prestasi dan kemampuan siswazah tersebut. ‘‘YPKT akan memantau operasi taska berkenaan bagi memastikan ia mematuhi piawaian yang telah ditetapkan yayasan tersebut. ‘‘Ini membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam membantu siswazah menganggur untuk mendapatkan pekerjaan,” katanya. Dengan itu, beliau mengalu-alukan siswazah yang berminat untuk menyertai program ini supaya menghubungi YPKT di talian 09-6249355 untuk mendapatkan keterangan lanjut. Taklimat mengenai program tersebut kepada siswazah berkenaan akan diadakan di YPKT pada 14 April ini. | ||
Lampiran | : | Tiada rekod |
"Sesungguhnya orang yang berakal itu menyembunyikan rahsianya, dan orang yang jahil membuka keaibannya" |
Tarikh terakhir kemaskini: 18-09-2013