Kategori | : | Keratan Akhbar |
RM25j bantu 3,000 miskinKUALA TERENGGANU 16 Julai – Sebanyak RM25 juta diperuntukan kepada Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu melalui Program Peningkatan Pendapatan Rakyat Termiskin dan Miskin yang bakal memberi manfaat kepada kira-kira 3,000 golongan tersebut. Pengarah YPK negeri, Mohd. Shafaruddin Mustaffa berkata, peruntukan tersebut akan digunakan untuk melaksanakan program berkenaan bagi tempoh lima tahun. Menurutnya, melalui program itu mereka yang layak akan diberi bantuan modal dan peralatan bernilai antara RM3,000 dan RM10,000 bagi membantu meningkatkan ekonomi dan pendapatan masing-masing. Jelas beliau, pemilihan calon untuk bantuan berkenaan dibuat melalui beberapa proses sebelum diluluskan berdasarkan kriteria yang ditetapkan bagi mengurangkan kadar kemiskinan dan menambah pendapatan keluarga. ‘‘Penerima bantuan akan dipantau oleh kakitangan YPK untuk memastikan bantuan yang diberikan digunakan sepenuhnya,” katanya. Mohd. Shafaruddin berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian bantuan modal program berkenaan bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar di sini hari ini. Bantuan itu disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar negeri yang juga ADUN Kawasan Bandar, Toh Chin Yaw. Menurut Mohd. Shafaruddin, melalui fasa pertama yang bermula Januari hingga awal Julai lalu, seramai 771 orang menerima bantuan modal dan peralatan berjumlah RM5 juta. Katanya, bagi fasa kedua yang bermula Julai hingga akhir tahun ini, sebanyak RM7.5 juta akan dibelanjakan bagi tujuan itu yang dijangka dapat memberi manfaat kepada kira-kira 1,300 orang. Beliau menambah, pada masa ini bancian mengenai keluarga termiskin dan miskin sedang dikenal pasti untuk diberi bantuan yang akan diagihkan kepada mereka secara berperingkat. | ||
Lampiran | : | Tiada rekod |
"Sesungguhnya orang yang berakal itu menyembunyikan rahsianya, dan orang yang jahil membuka keaibannya" |
Tarikh terakhir kemaskini: 18-09-2013