LAMAN UTAMA >
Artikel
PELAKSANAAN KHUTBAH MULTIMEDIA DI NEGERI TERENGGANU
Kategori | : | Artikel |
Kini genap setahun Negeri Terengganu merintis pendekatan baru bagi menarik umat Islam di negeri ini mendengar khutbah Jumaat melalui penggunaan multimedia dalam penyampaian khutbah. Khutbah Multimedia telah diperkenalkan buat pertama kalinya pada 3 Februari 2006 bersamaan dengan 4 Muharram 1427 di Masjid Al-Mukhtafi Billal Shah, Ladang, Kuala Terengganu. Berkat kesungguhan kepimpinan kerajaan Negeri dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu, tanggal 14 Februari 2006, penggunaan khutbah multimedia diperluaskan lagi dan kini sebanyak 32 buah masjid yang terdiri dari setiap DUN di Terengganu telah menyahut saranan dengan menggunakan khutbah multimedia sebagai wacana penyampaian kepada para jamaah. Sesungguhnya Negeri Terengganu telah memahat sejarah dengan pelaksanaan Khutbah Jumaat ini. Berani tampil berbeza!. Bertepatan dengan penerapan konsep dan nilai-nilai Islam Hadhari iaitu moden dan kontemporari, pelaksanaan khutbah multimedia ini menunjukkan cara ini amat bertepatan dengan zaman dan era teknologi komunikasi (ICT) masa kini. Khutbah Multimedia mendorong para jemaah supaya lebih menghayati intipati khutbah yang dipaparkan terus ke skrin dan dapat dibaca oleh semua jamaah. Kerajaan Terengganu kini memandang serius dalam usaha mempertingkatkan syiar Islam, termasuk mempelopori satu kaedah baru dalam penyampaian khutbah Jumaat dengan memanfaatkan penggunaan sistem multimedia ini. Sewaktu khatib membaca khutbah, pada masa yang sama apa yang disampaikan iaitu fakta-fakta penting termasuk ayat-ayat Al-Quran dan maksudnya akan dipaparkan melalui layar skrin bahagian depan masjid. Cara penggunaan multimedia ini mendapat respon yang baik dari para jemaah dan memacu jemaah untuk mendengar khutbah dengan cara yang lebih komprehensif. Selain merasai perubahan dari segi penyampaian, Imam dan Bilal juga turut merasai arus perubahan ini. Imam dan bilal dapat mengambil peluang ini mendalami ilmu ICT bagi meningkatkan pengetahuan masing-masing. Surah Al-Baqarah ayat 269 yang bermaksud : “Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya) dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya dia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya” Maksud ayat tersebut jelas menyatakan bahawa Allah membukakan samudra kebijaksanaan kepada siapa saja yang menginginkannya. Hakikat dari pengetahuan diri sebetulnya sudah ada dalam inti semua makhluk. Tetapi, hanya sang pencari sejatilah yang mampu menyelami kedalaman samudra, untuk memperoleh mutiara ilmu dan kebijaksanaan. Justeru, ilmu yang dapat diaplikasikan dengan cara yang lebih baik dan dengan cara yang berbeza memberi kesan yang sangat besar dalam diri setiap individu. Pendekatan yang dilaksanakan dengan menggunakan teknologi dalam penyampaian khutbah ini tidak mendapat tentangan dari mana-mana pihak dan Islam inginkan perubahan dalam pemikiran umatnya. Sekaligus menunjukkan bahawa “Islam itu Moden”. YAB Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Idris Jusoh memberi penekanan yang khusus dalam pendekatan Islam untuk setiap perlaksanaan program. Beliau menegaskan “Kita lebih membudayakan revolusi tindakan dan bukannya membudayakan percakapan dan apa yang dirasakan memberi keuntungan kepada rakyat akan segera dibuat dan dilaksanakan tanpa perlu menunggu lama” . Bertepatan dengan Slogan “Bukan Cakap Kita Buat” kerajaan Negeri Terengganu kini sedang rancak melaksanakan perubahan dan mempertingkatkan lagi imej Negeri Terengganu setanding dengan negeri maju yang lain . | ||
Lampiran | : | Tiada rekod |
Tiada rekod
"Sesungguhnya orang yang berakal itu menyembunyikan rahsianya, dan orang yang jahil membuka keaibannya" |
©SUKTRA Terengganu 2011- Hakcipta Terpelihara
Tarikh terakhir kemaskini: 18-09-2013
Terma Penggunaan | Polisi Privasi | Notis Perundangan | Maklumbalas | Peta LamanTarikh terakhir kemaskini: 18-09-2013