| | Ipoh: Bajet 2014 dibentangkan bulan depan, akan memberi gambaran lebih jelas kepada rakyat mengenai langkah kerajaan melakukan rasionalisasi subsidi serta hala tuju ekonomi negara.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, berkata antara penekanan dalam penyediaan bajet kali ini adalah bantuan bukan berbentuk pemberian wang tunai untuk meringankan beban golongan menengah bawah.
Ini dilakukan melalui penjimatan besar daripada kira-kira RM24 bilion subsidi bahan api ditanggung kerajaan ketika ini yang hanya dinikmati golongan kaya dan menengah atas.
Katanya, akses kepada pemilikan rumah khususnya rumah mampu milik, penyediaan infrastruktur termasuk di Sabah dan Sarawak serta ekonomi inovasi dan kreativiti sebagai pelaburan masa depan, turut diberi perhatian.
“Kita mahu pertumbuhan ekonomi kita lebih cepat dan menyeluruh. Pembangunan pula bukan saja boleh meningkatkan pendapatan, malah mendekatkan jurang antara kaya dan miskin.
“Mereka yang duduk dalam kategori berpendapatan rendah akan dibantu seperti pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan untuk golongan menengah bawah juga kita akan bantu tetapi dalam konteks dan bentuk bantuan lain (bukan tunai).
“Ada beberapa pendekatan yang sedang kita kaji dan saya percaya apabila dibentangkan dalam bajet, rakyat nampak apakah ertinya rasionalisasi subsidi dan ke mana arah tuju negara,” katanya selepas merasmikan program sambutan Hari Kemerdekaan Parlimen Tambun di Tanjung Rambutan, dekat sini, semalam.
Nikmati faedah Bajet 2014
Ahmad Husni yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, beliau yakin ramai golongan menengah bawah akan dapat menikmati faedah melalui bajet kali ini.
Beliau berkata, beberapa pendekatan juga dilihat mengenai aspek perumahan yang menjadi antara isu membelenggu rakyat seperti harga dan pembiayaan.
Justeru, katanya, kementerian itu akan mengkaji secara mendalam semua input mengenai Bajet 2014 yang diterima daripada pelbagai pihak sehingga tarikh akhir untuk berbuat demikian semalam.
Sumber: Berita Harian |