Kategori | : | AKTIVITI |
Terengganu bakal menerima pelaburan tempatan serta asing bernilai lebih RM7 bilion daripada pembangunan kompleks biopenapisan terbesar Asia di Taman Biopolimeter, Kertih. Pembangunan kompleks itu akan dilaksanakan secara usaha sama antara Kerajaan Terengganu, Malaysian Biotechnology Corp Sdn Bhd (BiotechCorp) dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC). Ketua Eksekutif Biotechcorp, Datuk Dr. Mohd Nazlee Kamal, berkata projek itu adalah inisiatif pertama di bawah Fasa Pengkomersialan Dasar Bioteknologi Kebangsaan. “Keupayaan jumlah pengeluaran produk berasaskan bio yang digabungkan di kompleks itu nanti dijangka mencapai 800,000 tan setahun,” katanya selepas majlis memeterai perjanjian kerjasama itu di Kemaman, semalam. Pada majlis itu, Kerajaan Terengganu diwakili Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah, ECERDC oleh Ketua Eksekutifnya, Datuk Jebasingam Issace John, manakala Mohd Nazlee mewakili BiotechCorp. Ia disaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said. Mohd Nazlee menjelaskan, projek itu dijangka menjana Pendapatan Negara Kasar terkumpul RM20.4 bilion menjelang 2020 dan menyediakan sehingga 2,500 peluang pekerjaan baru. Ia, katanya berdasarkan sasaran menarik sehingga lapan syarikat bioteknologi dunia untuk beroperasi di tapak seluas 1,000 hektar di taman itu menjelang 2015. Bagi memastikan bekalan bahan mentah mencukupi untuk menampung operasi di kompleks itu, tanah seluas 30,000 hektar diperuntukkan bagi perladangan pokok akasia dan Leucaena leucocephala atau lebih dikenali sebagai 'petai belalang’ yang akan menghasilkan 10.5 juta tan cip kayu setahun, katanya. Beliau berkata, BiotechCorp, bersama ECERDC kini giat menarik beberapa peserta bioteknologi industri global terutama dari Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun untuk menubuhkan kemudahan pembuatan kimia berasaskan bio mereka di Taman Biopolimer Kertih itu. Sementara itu, Jebasingam berkata, setakat ini agensi berkenaan dengan kerjasama BiotechCorp telah memperoleh pelaburan RM2 bilion daripada usaha sama antara CJ CheilJedang dari Korea dan Arkema dari Perancis untuk membangunkan kemudahan bio-methionine pertama dunia di Kertih. Industri itu yang akan mewujudkan peralihan daripada bahan api fosil konvensional kepada pengeluaran berasaskan bio yang lebih lestari, dijangka menjana pendapatan kira-kira RM1 trilion dan menghasilkan 800,000 peluang pekerjaan di seluruh dunia menjelang 2030. Sementara itu, Ahmad berkata, kesediaan beberapa syarikat melabur dalam bidang bioteknologi di Taman Biopolimer Kertih adalah satu kejayaan dan menunjukkan keyakinan mereka terhadap potensi perkembangan dan kemajuan bidang itu. Sumber : berita harian 14/06/2012 http://www.bharian.com.my/articles/PelaburanRM7bdiTerengganu/Article/ | ||
Lampiran | : | Tiada rekod |
"Sesungguhnya orang yang berakal itu menyembunyikan rahsianya, dan orang yang jahil membuka keaibannya" |
Tarikh terakhir kemaskini: 18-09-2013